Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada isu yang perlu dibangkitkan dalam soal terbabit dan baginya tiada kesalahan mengeluarkan plat kenderaan sedemikian.

"Saya tidak bimbang sebab tiada benda yang hendak disembunyikan dalam perkara ini, SPRM boleh buat siasatan kalau ada salah guna kuasa dan penyelewengan tetapi semak dengan rekod siapa yang sebenarnya meluluskan PATRIOT 1," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Isu nombor plat pendaftaran kenderaan itu timbul apabila harga bidaan bagi nombor plat kenderaan PATRIOT 1 meningkat melebihi RM1.3 juta. Ia dilaporkan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membenarkan Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) mengendalikan lelongan, dengan hasilnya digunakan YPNM bagi mempromosikan semangat patriotisme.

Kempen nombor plat "PATRIOT" untuk nombor 1 hingga 9999 dilancarkan (YPNM) pada 1 Jun dan harga bidaan RM1.3 juta bagi PATRIOT 1 dipercayai paling mahal dalam sejarah di negara ini.
YPNM memohon bagi projek itu semasa Hishammuddin menjadi pemangku Menteri Pengangkutan namun ia hanya diluluskan selepas Datuk Seri Liow Tiong Lai mengambil alih kementerian itu.

Pada sidang media itu, Hishammuddin berharap tiada pihak yang melaga-lagakannya dengan Liow dalam isu ini.
"Mungkin ada usaha ke arah itu (melaga-lagakan), saya tidak bimbang sebab tiada apa yang hendak disembunyikan," katanya.

Ulasan

Aku sokong cara Menteri Pertahanan ni. Jawab dengan segera dan usah dolak dalik. Ini kaedah nak elakkan segalanya jadi bahan politik. Dulu adik Menteri ni dikatakan terlibat dalam bisnes haram. Beliau dikaitkan tapi bila disiasat tak de apa kaitanpun.

Aku harap Menteri lainpun sama. Jawab dan serahkan pada orang nak nilai. Cakap banyak sangatpun tak usah sebab nanti kena spin. Ringkas dan tepat.