PUTRAJAYA - Kritikan delegasi luar di Persidangan Anti Rasuah Malaysia (IACC) bahawa Malaysia dilanda krisis rasuah dibuat tanpa fakta yang kukuh.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali berkata, kebanyakan dakwaan peserta luar hanya berdasarkan persepsi.
"Itu pandangan mereka tetapi kemungkinan mereka tidak mempunyai fakta. Rasuah berlaku di mana-mana di seluruh dunia termasuk Malaysia dan kita amat serius menanganinya.
"Tetapi rasuah bukan krisis besar di Malaysia, itu tidak benar," katanya dalam sidang media di IACC, di sini, semalam.
Dalam persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu, Malaysia tidak terlepas daripada menjadi sasaran kritikan peserta luar.
Antara yang lantang bersuara ialah Pengerusi Transparency International (TI), Jose Ugaz yang mendakwa Malaysia berdepan krisis rasuah berikutan isu kemasukan wang berjumlah RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mengulas lanjut, Mustafar berkata, dakwaan Jose itu tidak berasas kerana hanya mengambil satu kes sebagai contoh.
"Beliau hanya merujuk kepada seorang individu dan mengatakan korupsi sangat serius.
"Malah, ada juga peserta yang cuba membuat perbandingan dengan negara lain," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran IACC kali ini, beliau berkata, rata-rata reaksi peserta menyifatkannya antara yang terbaik.
Menurut beliau, hasil persidangan itu dirumuskan melalui Deklarasi Putrajaya yang dipersetujui 1,200 peserta dari 130 negara dan akan dihantar kepada Konvensyen Anti Rasuah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
"Antara rumusan deklarasi ialah untuk bersama-sama membanteras rasuah. Intipati utama yang diketengahkan dalam persidangan adalah mengenai tindakan tidak bekerja secara 'silo'.
"Setiap negara mesti bekerjasama dengan negara lain bagi menangani masalah rasuah," katanya.SH

Ulasan

Ini kenyataan yang boleh dipertanggungjawabkan. Tapi dalam masa yang sama SPRM kena jugak jaga pegawai lain yang keluarkan kenyataan. Ada kenyataan yang memang boleh timbulkan persepsi negatif. Seolah olah memang rasuah benar benar berlaku dan malangnya kerajaan pulak yang dilihat kaki rasuah.

Aku nampak SPRM punya tanggungjawab besar. Betulkan semula persepsi ini demi negara kita. Banyak kerosakan berlaku hasil Persidangan Anti Rasuah yang dilakukan. Aku anggap ia adalah sebahagian daripada pencabulan terhadap hak dan kedaulatan kita