• SaariSaari
 1 / 1 
SHAH ALAM – Adun Hulu Kelang, Saari Sungib mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan bukti beliau dibeli oleh PKR untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Malah beliau turut mengulangi pendirian sedia dipecat daripada parti sekiranya Abdul Hadi mempunyai bukti beliau berbuat demikian dan bersedia dibawa ke muka pengadilan sekiranya terlibat dalam politik wang.


“Saya tak tahu apa maksud ‘broker’, ‘barua’, dicuri dan dibeli. Jadi Pas perlu jelaskan sebab sebelum ini tak pernah dengar saya ini 'broker' atau 'barua' dan dibeli.


"Dibeli ini adakah dengan cara jual beli pantun macam itu atau pun melibatkan wang ringgit?


“Kalau melibatkan wang ringgit ini kes besar. Kes rasuah politik wang dan ia perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Dalam ucapan penggulungan Muktamar Pas ke-60 semalam, Abdul Hadi mengkritik tindakan PKR dan DAP kerana mencuri dua Adun parti itu demi menjayakan misi 'Langkah Kajang’ seterusnya merebut jawatan Menteri Besar Selangor.


Beliau mendakwa ada pihak yang menjadi ‘broker’ dan ‘barua’ dengan mencuri Adun parti itu di Selangor dan tindakan tersebut seolah-olah mengkhianati tahaluf siyasi atau kerjasama politik yang dijalin dalam PR.


Sementara itu, Saari berkata, Abdul Hadi sepatutnya membawa perkara itu kepada SPRM dan bukan setakat memberi teguran dalam muktamar.


“Kalau proses itu berlaku dengan adil dan terbukti kesalahan saya serta tidak layak lagi menjadi ahli Pas ,maka saya terimalah,” ujarnya.


Bagaimanapun, usaha Sinar Harian mendapatkan Adun Morib, Hasnul Baharudin tidak berjaya apabila beliau gagal dihubungi untuk mendapat penjelasan berhubung isu sama.