Monday, November 3, 2014

ZAI JANDA MALANG !

SAYA janda anak empat berumur 35 tahun dan suami berumur 24 tahun. Dia suami baru saya selepas setahun saya bercerai dengan suami terdahulu. Empat anak saya dipelihara keluarga bekas suami.

Untuk pengetahuan, perkenalan saya dan suami berlaku secara tidak sengaja di laman Facebook. Kami hanya berhubung di inbox message dan dari situ saya menceritakan segala masalah yang pernah saya lalui termasuklah mengenai kisah penceraian saya.
Atas dasar simpati dan kasih sayang yang semakin bertaut, dia ajak saya berjumpa dan terjalinlah hubungan antara kami. Tidak sampai setahun, kami pun bernikah tetapi di daerah kelahiran saya di Pulau Pinang tanpa pengetahuan ibu bapa mahu pun adik beradiknya.

Saya terpaksa menurut kehendak suami yang mahu merahsiakan perhubungan kami dengan keluarganya kerana saya takut kehilangannya.

Menurut suami, keluarga pasti tidak merestui perhubungan kami kerana dia masih muda, anak bongsu dalam keluarga manakala saya seorang janda dan lebih berusia daripadanya. Dia berjanji apabila tiba masa sesuai, dia akan menceritakan mengenai perkahwinan kami.

Sebenarnya doktor, kami berdosa kerana melakukan hubungan terlarang dan saya hamil dua bulan ketika bernikah dengan suami.

Perkahwinan kami mengikut prosedur negara ini dan diketahui keluarga saya. Bulan berganti bulan, suami masih belum berterus terang dengan ibu bapanya. Dia selalu balik ke kampung keluarganya tanpa saya tetapi setiap kali dia kembali apabila saya bertanya adakah dia berterus terang, dia beritahu belum sesuai.

Saya amat tertekan dengan situasi ini tambahan pula kandungan semakin membesar.
Entah macam mana kakak dan abangnya mengetahui perihal perkahwinan kami. Mereka pujuk suami pulang ke kampung untuk berbincang.

Balik sahaja dari kampung, suami terus keluar dari rumah tanpa memberikan penjelasan. Saya merayu kepada suami tetapi dia tidak mahu bercakap apa-apa.

Saya kejar suami sehingga dia balik ke rumah sewa lamanya. Dari pagi sehingga petang saya tunggu suami keluar tapi dia tidak endahkan saya. Telefon dan mesej tidak berjawab. Saya menangis dan merayu sehingga saya penat dan akhirnya balik ke rumah dengan perasaan hampa.

Esoknya saya ke sana lagi. Kawan serumah suami beritahu suami sudah pindah tetapi saya tahu suami saya masih ada di dalam rumah dan sengaja tidak mahu berjumpa.

Saya cari contact kakak dan abangnya menerusi Facebook dan apabila dapat berhubung kakaknya  menjawab yang saya telah menyihir suami sehingga berkahwin dengan saya.

Ya ALLAH... saya terduduk. Mereka menghasut suami dengan mengatakan anak dalam kandungan saya bukan anak suami. Dan suami bernikah dengan saya kerana sihir. Kononnya suami tersedar selepas berubat di kampung.

Saya hantar mesej merayu suami jangan buat saya begini. Saya pernah melalui perceraian sebelum ini dan saya tidak sanggup mengharunginya sekali lagi dalam keadaan saya mengandungkan anaknya. Tetapi suami tidak menjawab soalan saya.
Saya pulang dengan hampa. Ketika itu kandungan saya masuk lima bulan.
Kini sudah lapan bulan dan suami langsung tidak pulang menjenguk saya. Saya bekerja kilang dan terpaksa berulang alik naik motor seorang diri untuk bekerja. Dalam keadaan mabuk hamil saya terpaksa juga bekerja demi mencari wang untuk bersalin nanti.
Saya benar-benar tertekan dan tidak tahu apa saya perlu lakukan. Saya hanya mampu menangis. Makan minum saya sudah tidak menentu tapi saya perlu teruskan hidup untuk anak kami.

Zai,
Pulau Pinang

Ulasan

Artikel ini tersiar dalam sebuah akhbar harian. Ruangan soal jawab bersama kaunselor. Aku tak bertujuan untuk melihat isu ini dari sudut psikologinya. Yang aku nak kita tengok ialah bagaimana orang Melayu terperangkap dalam satu kepercayaan yang tidak dapat dibuktikan.


Tak habis habis. Sihir, saka, sampai rumah tangga berkecai. Aku rasa pihak berkuasa kena berbuat sesuatu sebab kalau tidak benda ini akan menyekat orang Melayu daripada berkembang.


Wartakan misalnya tukang sihir akan dihukum dengan hukuman yang berat atau wartakan sebenarnya sihir dah tak wujud lagi dah, boleh tak gitu.


Naya Zai. Ke mana nak mengadu ?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...