Sunday, May 18, 2014

ADA ARTIS BELA PONTIANAK !!

Bermula sebagai pelakon dan kini bergelar pengarah, Ellie Suriaty Omar, 43, bersedia menerbitkan filem di bawah produksi sendiri.
Jika sebelum ini skrip dan dana menjadi penghalang, sekarang tidak lagi. Ellie yang ditemui di lokasi drama Takhta 3 Puteri baru-baru ini, berkongsi khabar gembira yang dia bertemu pelabur yang mahu memberi dana menghasilkan filem sulung terbitan produksinya, Pontianak. 
Katanya, dia masih kekal dengan genre seram selepas filem pertama arahannya, Penang­gal. 

Menurutnya, skrip Pontianak siap 80 peratus, sementara persetujuan dengan pelabur untuk membiayai pembikinan filem itu juga diperoleh.

“Sebenarnya sebaik selesai menghasilkan Penanggal, saya memikirkan untuk menerbit­kan Pontianak. Apatah lagi sebagai pengkarya, saya harus bergerak untuk kerja seterusnya. Syukur, segalanya berjalan seperti dirancang,” kata-nya.

“Saya belajar dari sejarah penerbitan perfileman Melayu, di mana kita lihat karya P Ramlee dihargai hingga kini dan sering disiarkan di TV. 

“Bagaimanapun, warisnya tidak mendapat hasil dari titik peluhnya kerana karyanya menjadi hak milik orang lain. 

“Hak cipta seharusnya dipegang pengkarya. Paling tidak 70 peratus. Jika wujud perkongsian dalam pembikinan sesebuah filem, seperti bajet orang lain tetapi penerbit dan pengarah harus memastikan hak milik diberi sama rata, kecuali jika ada yang mahu membeli filem itu dengan harga sa­ngat bagus,” katanya. 

Kata Ellie, sekurang-kurangnya apa diusahakan sekarang, hasilnya nanti akan dapat dinikmati anaknya. 

Katanya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sedia memberi bantuan dana untuk menerbitkan filem. 

“Untuk menghasilkan Pontianak, saya hampir mendapat­kan wang diperlukan RM1.5 juta,” katanya. 

Melihat modal tinggi menghasilkan Pontianak, Ellie yakin mendapat keuntungan dan tidak bimbang dengan keadaan pasaran sekarang. 

Katanya, bukan dia terlebih yakin atau mahu mendabik dada filem terbarunya pasti mencatat keuntungan, cuma sebagai penerbit tentu dia mahukan keuntungan. 

“Strategi memasarkan filem perlu ada. Saya pasti akan melihat situasi dan keadaan pasaran terlebih dulu apabila ia mahu ditayang­kan nanti. 

“Kalau saya menerbitkan Pontianak tahun ini, ia kemungkinan ditayangkan tahun depan atau 2016, waktu itu minat orang untuk menonton filem tempatan sudah kembali. 

“Ia turut bergantung kepada syarat wajib tayang. Apabila ia ditayangkan pada minggu pertama, sebagai penerbit saya harus memastikan ia mampu menarik penonton menyaksikannya di pawagam. 

“Tanyalah mana-mana penerbit, tidak ada yang mahu buat filem untuk rugi. Sebagai penerbit, tentu saya fikir semua perkara itu,” kata­nya. 

Mengenai pembabitannya dalam drama enam episod untuk Boxoffice Astro, Ellie seronok bekerja dengan Erma Fatima, yang turut membariskan pelakon handalan termasuk suaminya Azri Iskandar, Awie, Erra Fazira, Datuk Rahim Razali, Mior Hashim Manaf, Beto Kusyairi, Aqasha dan pelakon seberang, Febby Febiola. 

Memegang watak pembantu Puteri Majapahit, Galuh Chandera, Ellie akui wataknya memberi cabaran berbeza apabila melakonkan watak orang yang pernah bernyawa. Apatah lagi orang Majapahit dengan perwatakan dan bahasa jauh berbeza. 

“Ia juga bukan karya moden atau kontemporari. Dari sudut itu, nyawa karya ini besar dan memiliki konteks dan ideologi sendiri. Sebagai pelakon, saya cuba memberi apa yang Erma mahukan dari sudut pemikiran dan pandangan mata. 

“Berlakon bersama suami juga bukan masalah. Kami pernah digandingkan sebelum ini tetapi sudah lama dan jarang. Kami berdua cuba beraksi de­ngan duduk atas sisi watak masing-masing,” katanya.
Ulasan :
Sebagai pelakon , aku suka lakonan Ellie Suriati. Tak mengada ngada, tak ada gossip. Jom kita tengok pulak keupayaan dia sebagai pengarah .

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...