Seorang pelakon yang juga penari menyaman bintang pop, Britney Spears, di Mahkamah Agung Los Angeles, kerana dikatakan mematahkan hidungnya sewaktu latihan dan enggan membayar kos perubatannya.

Wanita terbabit, Dawn Noel, memfailkan saman itu Isnin lalu dengan mendakwa dirinya dicederakan pada 19 Ogos tahun lalu ketika latihan di sebuah studio di Woodland Hills, utara Los Angeles. Ketika itu mereka berlatih bagi menjayakan klip video Spears, Work B***h. 

Dalam dokumen yang diperoleh NBC News, Noel berkata, beliau tiba di lokasi terbabit pada jam 10 pagi, seterusnya mengadakan latihan bersama penari lain dan pereka tari sehinggalah Spears tiba pada 12.30 tengah hari. 

Katanya, penyanyi itu kelihatan seperti berada dalam keadaan keliru dan berserabut. Penyanyi itu juga dikatakan tidak dapat mempelajari rutin tarian diajarkan kepadanya walaupun ia hanyalah beberapa langkah yang mudah.

Menurut dakwaan itu lagi, selepas kira-kira setengah jam berlatih, ketika Noel berada di sisi Britney, penyanyi itu berpusing dalam keadaan tidak terkawal dengan tangannya mendepa keluar, seterusnya menghentak muka penari berkenaan.

Impaknya begitu kuat sehingga Noel dan penari lain mendengar bunyi sesuatu patah. Masing-masing sedar bunyi itu datangnya daripada kecederaan dialami hidung Noel. 
Noel dikatakan berasa kesakitan dan menekap hidungnya, manakala Spears pula hanya mengucapkan “maaf” dan terus menyambung latihan.

Penari itu cuba meneruskan latihan selama setengah jam lagi, sebelum terpaksa berjumpa doktor. Beliau disahkan mengalami patah tulang hidung dan dinasihatkan menjalani pembedahan.

Kata dokumen terbabit, Spears dan Reign Deer Entertainment bersetuju membayar bil perubatannya. Bagaimanapun, beberapa bulan kemudian, wakil Spears memberitahu Noel, mereka tidak akan membayar kos rawatannya.

Noel juga mengatakan, akibat kecederaannya itu, beliau mengalami ketidakupayaan kekal dan menghalang dirinya daripada bekerja. Keadaan itu menyebabkannya kehilangan pendapatan- Sumber