MEMEGANG gelaran ustaz selebriti bukanlah sesuatu yang mudah. Malah, kebanyakan pendakwah yang masyarakat gelar sebagai ‘selebriti agama’ sebenarnya tidak bangga dengan gelaran diberi.

Apatah lagi gelaran ustaz yang diberikan itu sebenarnya adalah satu amanah yang tidak boleh dipandang mudah.

Itulah pegangan pendakwah dan penceramah, Ustaz Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim Elias.

"Mendapat gelaran itu mungkin satu perkara yang bagus kerana ia sekali gus dapat menarik perharian ramai orang.

"Tetapi, apa yang bahayanya adalah apabila menjadi ustaz 'mi segera'," katanya.

Jelasnya, menjadi seorang ustaz memerlukan pembelajaran yang berterusan dari semasa ke semasa.

"Cepat sangat jadi ustaz. Asal muncul di kaca TV terus saja jadi ustaz.  Pokok pangkalnya, mesti belajar," tegasnya!.

Ketika ditanya adakah kemunculan ustaz 'mi segera' itu daripada lambakan pelbagai program realiti kini, Ustaz Kazim mengakui akan perkara demikian.

"Mungkin. Sebab masyarakat kini lebih suka menonton rancangan yang bersifat sebegitu.

"Jadi, mungkin apa yang diperkatakan tidak berhati-hati.

"Apabila tidak berhati-hati dan 'sedap' mulut bercakap, ia jelas mendatangkan bahaya.

"Justeru, lebih baik berhati-hati dalam bercakap dan bertutur kata," katanya.

Jelasnya lagi, beliau juga mengambil masa hampir 20 tahun sebelum muncul di kaca TV.

"Dulu, hendak keluar TV atau radio sangat susah. Apabila mudah keluar TV, kadang-kadang kita lupa tugas dan konsep dakwah.

"Malah, tujuan asal pun sudah berubah. Oleh sebab itu kita perlu berhati-hati.

"Jangan keluarkan pendapat, hukum dan fatwa melainkan perlu merujuknya pada yang berkenaan.

"Juga jangan memetik nama-nama orang dalam setiap ceramah," katanya.

Tambah Ustaz Kazim lagi, beliau ada rahsia tersendiri untuk bertahan lama sebagai penceramah dan pendakwah bebas.

"Pertama, bercakap berdasarkan ilmu, kedua, menjadi diri sendiri dan ketiga, elakkan daripada meniru gaya orang lain.

"Insya-ALLAH, pastinya akan bertahan lama," katanya lagi.

Ceramah agama atasi konsert

Berpeluang menghadiri ceramah agama daripada Ustaz Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim Elias di Menara Kuala Lumpur, benar-benar membuat hati penulis teruja.

Masakan tidak, sebelum ini, penulis hanya berpeluang melihatnya ‘beraksi’ menerusi program Kalau Dah Jodoh di saluran Astro Oasis (saluran 106).

Ternyata, dengan berbekalkan pengalamannya hampir 25 tahun sebagai penceramah dan pendakwah , pesona Ustaz Kazim begitu memikat hati.

Bahkan, cara penyampaian oleh pendakwah berusia 41 tahun itu juga sangat 'sempoi' dan mudah difahami sambil diselangi dengan telo Perak yang kadang-kala menimbulkan sedikit kelucuan.

"Saya mula berceramah semasa belajar di Maahad Tahfiz Al Quran di Ipoh, Perak pada 1991.

"Ketika itu, saya menggantikan guru besar atau mudir saya, Datuk Sheikh Mohd Nor Mansur berceramah di sebuah pejabat kerajaan.

"Itu adalah langkah pertama saya untuk terlibat sebagai pendakwah dan penceramah," katanya ketika ditemui di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelasnya, dia kemudiannya menjadi tenaga pengajar di sebuah sekolah Tahfiz di Malim Nawar.

"Saya kemudiannya menjadi pensyarah di Pusat Perkhidmatan Keluarga di Ipoh sebelum menjadi Imam Masjid.

"Setelah itu, baharulah saya terlibat secara sepenuh masa dalam berdakwah," katanya yang kini tampil dalam Forum Perdana Hal Ehwal TV1.

Tambahnya, beliau sangat teruja dengan perkembangan masyarakat kini yang semakin minat dalam pelbagai ceramah agama.

"Kesan ceramah ada di mana-mana saja. Bahkan, sambutan ke atas ceramah agama juga mengatasi kutipan konsert.

"Paling seronok apabila ramai yang bukan Islam, kini lebih terbuka memeluk agama Islam. Itu yang paling teruja sekali," katanya yang kini bebas daripada menjadi mana-mana parti politik.

Pondok pengajian moden

Dalam kesibukan berdakwah, jangan tidak tahu, Ustaz Kazim juga ada menubuhkan sebuah pondok pengajian moden, Pusat Pendidikan Al Barakah di Kampung Manjoi, Ipoh sejak 2005.

Memegang peranan sebagai pengetua, Ustaz Kazim berkata, Pusat Pendidikan Al Barakah kini terus membangun dan mula dikenali di seluruh negara dan di luar negara.

"Alhamdulillah, segala perancangan dan impian untuk mewujudkan sebuah pusat pendidikan Islam yang meliputi semua aspek ini tercapai.

"Kini, pusat ini bukan hanya berfungsi sebagai sebuah institusi pengajian Tahfiz dan pondok moden, tetapi ia juga boleh menjadi contoh kepada pusat pengembangan agama Islam," katanya yang turut bertindak sebagai tenaga pengajar.

Jelasnya lagi, pusat ini adalah pusat pengajian termoden, efektif dan berdaya saing.

"Terdapat seramai 60 tenaga pengajar di sini.

"Selain dari warga tempatan, kami juga ada tenaga pengajar dari Sudan, Kemboja, Thailand, Mesir dan Arab Saudi.

"Semua tenaga pengajar ini mempunyai tauliah bertaraf ijazah selain berpengalaman dalam bidang Tahfiz dan akademik," katanya.

Lebih menarik lagi, tambah Ustaz Kazim, pelajar juga didedahkan dengan penggunaan pelbagai bahasa seperti bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Mandarin, Tamil, Arab, dan Jepun.

"Selain bahasa, pelajar juga diajar untuk memahirkan diri dalam bidang komputer, muzik, dan kokurikulum sebagai melengkapkan pembelajaran.

"Pelbagai aktiviti kokurikulum turut disediakan bagi menggalakkan pelajar beriadah sekali gus dapat membina insan yang mahir, kreatif dan dinamik," jelasnya sambil memberitahu sehingga kini seramai 20 pelajar berjaya dilahirkan.

Kecemerlangan pondok pengajian moden ini turut diakui apabila menerima Anugerah Pondok Progresif 2014 daripada Yayasan Pondok 1Malaysia, baru-baru ini.

Keluarga jadi tulang belakang

Selari dengan gelaran ustaz selebriti yang disandangnya, Ustaz Kazim mengakui dirinya terlalu sibuk dan tidak punya masa untuk diri sendiri dan keluarga.

"Tiada privasi bagi saya. Ke mana saya pergi, pasti ada yang mengejar.

"Malah, anak-anak juga ada saja merungut cakap saya terlalu sibuk.

"Bahkan, isteri turut merasai perkara sedemikian," katanya.

Begitu pun, bapa kepada lima anak ini tetap meluangkan masanya dengan keluarga besarnya itu terutamanya ketika cuti persekolahan tiba.

"Kami baru saja pulang bercuti dari Vietnam.

Tambah penulis buku Tuhan Sedang Menguji Kita ini lagi, keluarganya itu sangat bersifat 'low profile' dan lebih selesa menjadi tulang belakangnya sekali gus berjaya membawanya hingga ke tahap ini.- Sumber

Semasa  berdakwah, tidak memilih, tiada ketakutan