Wednesday, June 25, 2014

WEIII ! ZAINI HASSAN UTUSAN DAH BUAT LAWAK PULAK !!

Aku minat tulisan Datuk Zaini. Ada roh dan jiwa perjuangan Melayu. Tapi penulisan beliau yang aku turunkan di bawah ini mengecewakan aku. Aku takut nanti ada orang UMNO percaya pada penulisan beliau dan pakat mencontohi UMNO Cheras.

Perjuangan sebenar UMNO bukan pada pakaian, rupa paras atau percakapan. Perjuangan UMNO sebenar ialah memenangi pilihanraya.
Apa maknanya kelihatan dan kedengaran hebat tapi kalah pilihanraya.

Aku harap Zaini akan betulkan cara berfikir beliau. Pemikiran yang silap akan jerumuskan UMNO ke lembah hina walau sehebat manapun pakaian yang dipakai. Dalam masa yang sama aku harap akan fokus kepada usaha memenangi pilihanraya dalam PRU 14 akan datang.

UMNO Cheras terbaik! ( Tulisan Zaini Hassan )
MALAM kelmarin saya menghadiri majlis ulang tahun ke-20 UMNO Bahagian Cheras.
Sungguh unik malam itu. Jemputan lelaki memakai persalinan kepahlawanan Melayu, berbengkung dan bertengkolok.
Itulah pertama kali saya melihat, dengan kagumnya, pakaian hulubalang, kepahlawanan dan pembesar Melayu dalam pelbagai gaya dan mewakili pelbagai negeri sekali gus.
Ia cukup unik. Ikatan tengkoloknya cukup hebat. Nilai estetikanya cukup tinggi.
Sepatutnya perlu ada satu muzium yang menempatkan semua pakaian Melayu zaman silam itu untuk tatapan generasi sekarang dan akan datang.

Saya boleh bayangkan itulah pakaian lazim yang dipakai di zaman Kesultanan Me­layu lebih 500 tahun dahulu.
Syabas ketua bahagian Cheras iaitu Syed Ali Alhabshee, seorang berketurunan Arab Yemen, yang berasimilasikan Melayu jati Nusantara.
Yang menariknya Perdana Menteri (PM) Najib Tun Razak tidak hadir ke majlis negara meraikan Presiden Republik Tajikistan, untuk semata-mata memenuhi undangan ke majlis UMNO Cheras itu.
UMNO Cheras ternyata lain daripada yang lain. Sepatutnya itulah yang patut dicontohi oleh semua bahagian UMNO seluruh negara. Ia amat mesra rakyat dan diuruskan secara profesional. Ketua bahagiannya cukup versatil dan berani berhujah - katanya demi masa depan UMNO mengatasi individualiti.

Namun yang menarik perhatian saya dalam majlis itu ialah ucapan PM selaku Presiden UMNO.
Saya yang duduk di sebelah Datuk Shukor Abdul Manan, setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM) menyapa beliau "sungguh mendalam maksud ucapan Najib itu." Beliau bersetuju dan mengangguk.
TPM Muhyiddin Yassin juga sepatutnya hadir ke majlis Cheras itu, namun diarahkan oleh bosnya untuk hadir ke jamuan negara bersama Presiden Tajikistan itu.
Najib menggariskan enam faktor yang UMNO dan para pemimpin serta ahli-ah­linya perlu ada untuk memastikan kesinambungan parti itu dan kuasa Melayu.

Faktor pertama adalah ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul serta mematuhi arahan pemerintah dalam apa sahaja keputusan demi kebaikan setiap lapisan rakyat Malaysia.
Faktor kedua adalah kesetiaan kepada negara dan parti yang perlu diterjemahkan pada setiap pilihan raya dengan memberi kemenangan kepada calon yang telah dipilih.
Perkara ketiga adalah keberanian dalam perjuangan iaitu kita tanamkan sifat berani semasa berjuang kerana lawan akan takut pada orang yang berani dan itulah sebenarnya karakter orang Melayu.

Yang keempat adalah kesetiakawanan sama ada susah atau senang. Bila ada pilihan raya pastikan parti kita berjaya tapi kalau tahu kalah, kita bantu rakan lain untuk memastikan mereka menang.
Dua faktor seterusnya adalah kebijak­sanaan dan keikhlasan yang bagi orang Melayu, sifat ikhlas itu telah dipupuk melalui amal ibadat kepada Allah SWT yang menjanjikan ganjaran pahala.

Bagi saya faktor kedua dan keempat - kesetiaan dan kesetiakawanan - amat pen­ting dalam sesuatu perjuangan. Jika hilang kedua-dua itu maka pincanglah sebuah persatuan dan rosaklah sebuah kesatuan.
Dalam suasana politik Melayu kini yang berpecah-belah, mesej itu jelas amat pen­ting sekali.
Kita tidak boleh lagi berpecah-belah. Melayu harus bertaut kembali. Belajarlah daripada kesilapan pemimpin dan orang Melayu sejak zaman kesultanan silam dahulu. Bacalah Sejarah Melayu dan renungilah kutub-khanah bangsa itu.

Hasad dengki, tamak haloba, angkuh, bongkak, taksub, jahil, suka berkelahi membawa kelemahan dan kehancuran kepada Melayu.
Oleh itu jangan ada jugalah adu-domba oleh mana-mana pihak ke atas perhubu­ngan Najib dan Muhyiddin. Perlukah dilaga-lagakan antara kedua-duanya?
Akhir sekali syabas Syed Ali dan barisan kepemimpinan UMNO Cheras. Sebagai seorang yang bukan ahli UMNO, selagi masih berada dalam alam kerjaya ini, saya melihat parti itu dengan penuh harapan - syaratnya contohilah Cheras!

1 comment:

Anonymous said...

Ini pandangan peribadi beliau. Tak ada betul salahnya. Kita juga ada pandangan kita sendiri

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...